Selasa, 17 November 2009

PERANAN MASJID / SURAU

Rasulullah SAW telah lama berjaya membedah, membuang dan mengubati penyakit ‘asabiah’ berpuak-puak ini. Apakah ubatnya? Tidak lain, baginda berjaya menangani masalah perpecahan sesama sendiri dengan cara menjadikan Islam sebagai asas perpaduan. Di manakah titik peralihan, titik perubahan kepada perpaduan tersebut?

Tidak lain, Rasulullah membina nilai-nilai pengukuhannya di Masjid / Surau. Masjid / Surau tidak meletakkan sistem kasta, pangkat atau kemuliaan seseorang sebagai ukuran. Kita sama rata di sisi Tuhan. Kita hanya hamba sedang Tuhan Pencipta kita. Takbir kita, rukuk kita, sujud kita malah aku janji dan apa yang kita baca, sama sahaja di sisi Tuhan, yang membezakan kita hanya siapa yang paling bertakwa, siapa yang paling tinggi darjat imannya.

Rasulullah SAW memaksimumkan masjid / surau bukan tujuan ibadah khususiah semata-mata bahkan hal-hal yang melibatkan pemerintahan, perundangan, ekonomi dan sosial turut dilibatkan. Hari ini, malangnya masjid kita kosong dan surau kita kosong tak bertuan. Dari setinggi-tinggi pangkat sehingga yang paling rendah sekalipun, malah persatuan-persatuan yang memperjuangkan suara-suara perpaduan pun tidak melihat masjid/surau sebagai institusi perpaduan. Masjid dan surau hanya jadi tempat cicak dan lipas bersanggama membiak keturunan. Yang sembahyang di pejabat, itulah sahaja tempat tonggang-tonggeknya, yang sembahyang di rumah, di rumah sahajalah tempat tonggang-tonggeknya langsung tiada sentuhan ukhuwah, langsung tiada berselisih bahu sujud dan rukuk kepada Tuhan yang satu. Itu belum lagi yang langsung memulau masjid dan surau, hanya bertemu , berselisih pun seminggu sekali sahaja.

Oleh itu marilah kita berhijrah dengan menyuburkan semula kesedaran, membuangkan segala kelemahan menginsafi dengan pengetahuan agama dan memperkasakan iman serta membasmi kejahilan dan memerangi kesesatan.

Tempatnya tidak lain, bukan jauh pun, di rumah Tuhan. Ikatan yang dijalinkan atas asas iman bukan sahaja memperkukuhkan persaudaraan, malah membina keutuhan sesebuah organisasi, masyarakat dan membolehkan sebuah Daulah Islamiah ditegakkan. Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 74 yang bermaksud:

“Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperoleh keampunan dan kurniaan yang mulia”.

Dari itu sama-samalah kita memaksimumkan pengunaan masjid dan surau bukan untuk tujuan solat sahaja tapi untuk program-program yang mendatangkan kebaikkan kepada semua masyarakat disekitar masjid dan surau tersebut dan supaya segala yang kita kerjakan mendapat keredhaan dari Allah, InsyaAllah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan